Kuala Lumpur: Suara pelawak veteran Sathiya dipilih bagi watak Roti, iaitu projek filem animasi terbaharu terbitan KRU Studios, Zan Orang Utan.
Penerbit dan pengarah filem itu, Datuk Norman Abdul Halim berkata, Sathiya adalah satu-satunya calon yang terlintas dalam fikiran untuk membawa watak Roti dalam dialek dan intonasi masyarakat India.
Menurutnya, pengalaman bekerjasama dengan Sathiya dalam beberapa projek termasuk kali terakhir dalam filem Cicakman 3 secara tidak langsung memudahkan membuat keputusan berkenaan.
“Pemilihan Sathiya dibuat kerana kita mahu tonjolkan watak pelbagai kaum. Jika dalam filem Wheely sebelum ini kita guna dialek Cina, kali ini, untuk Zan Orang Utan, saya mahu ketengahkan dialek India melalui watak Roti.
“Cara percakapan dan pelatnya mampu menimbulkan elemen komedi yang diperlu selain menyampaikan karakter itu dengan baik,” katanya kepada BH Online.
Mengulas mengenai watak Roti, Norman berkata, ia bukanlah watak sampingan biasa, sebaliknya Roti adalah ‘sidekick’ kepada watak utama Zan yang mempunyai sifat dinamik.
“Watak Roti ini sangat menarik kerana kesetiaannya kepada Zan sering diragukan. Akan ada banyak ‘plot twist’ membabitkan karakter ini.
“Bagaimanapun, filem ini masih sebuah naskhah kekeluargaan yang sarat dengan pelbagai kejutan dan ‘plot twist’,” katanya.
Menurutnya, Zan Orang Utan adalah filem animasi ketiga terbitan KRU selepas Ribbit yang ditayangkan pada 2013 dan Wheely pada 2018.
Katanya, idea menghasilkan Zan Orang Utan tercetus daripada keinginan untuk mencipta satu watak ikonik tempatan yang berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
“Saya mahu hasilkan satu karakter yang boleh dibawa ke luar negara seperti watak Mickey Mouse yang dikenali ramai. Orang Utan adalah spesies yang unik dan sangat sinonim dengan Malaysia.
“Sebab itu kami pilih Zan Orang Utan kerana mudah diingati serta sesuai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Filem Zan Orang Utan kini dalam fasa akhir pembikinan dan dijangka menemui penonton pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




