am@hmetro.com.my
Besut: Jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), dekat Tasik Banding, Gerik semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, di sini awal pagi ini.
Terdahulu, jenazah anak bongsu daripada tiga beradik dari Kampung Paya Rawa, di sini, tiba di perkarangan Masjid Hadhari, di sini, bersama 12 van jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, jam 3 pagi.
Sebanyak empat bas yang membawa 160 pelajar universiti turut mengiringi konvoi van jenazah berkenaan sebagai penghormatan terakhir.
Solat jenazah 13 mangsa kemalangan itu diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Seramai lebih 3,000 jemaah terdiri daripada keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan penduduk sekitar menyertai solat jenazah itu.
Selesai disembahyangkan, jenazah kemudiannya dibawa terus ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi keluarga, sanak saudara, rakan taulan yang mengiringi upacara pengebumian jenazah.
Turut mengiringi pengebumian jenazah wakil dari UPSI, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Muhammad Nadzir Ibrahim.
Muhammad Nadzir berkata, pemergian arwah sangat dirasai warga UPSI berikutan arwah sangat dikenali di kalangan warga UPSI.
“Saya mengajar dalam jurusan lain tetapi sangat mengenali arwah kerana dia pelajar yang tegas, mudah mesra dan sangat disenangi.
“Arwah pelajar yang bijak dan juga penerima anugerah dekan dan seorang yang aktif,” katanya.
Terdahulu dua jenazah mangsa kemalangan terbabit, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 21, tiba di perkarangan masjid jam 10.45 malam.
Jenazah Muhammad Adib disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke kampung halaman keluarga di Kampung Pasir Badak, Hulu Besut untuk dikebumikan.
Manakala jenazah Wan Suhaila dari Kampung Amir, di sini, dibawa terus ke rumah keluarga untuk disembahyangkan di masjid kampung berkenaan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd