Subahan tegaskan tiada istilah kumpulan mudah di Piala Dunia

Subahan tegaskan tiada istilah kumpulan mudah di Piala Dunia

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan tiada istilah kumpulan mudah dalam saingan Piala Dunia, sebaliknya setiap pasukan bertanding adalah yang terbaik di dunia.

Menurutnya, walaupun skuad hoki lelaki negara diundi dalam kumpulan sukar pada edisi kali ini, situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam kejohanan berprestij berkenaan.

“Bila kita melihat undian, orang sering kata ia adalah kumpulan maut.

“Tapi sebenarnya apabila anda beraksi di Piala Dunia, setiap pasukan yang sertai pastinya adalah yang terbaik.

“Kalau anda bertemu Jerman pun susah, dengan Belanda pun susah, begitu juga Belgium, Jepun dan Pakistan juga susah.

“Jadi kita perlu terima (keputusan undian) dengan hati terbuka. Perkara paling penting adalah skuad negara perlu cari strategi terbaik agar dapat raih keputusan yang memuaskan,” katanya.

Pada kejohanan dijadual berlangsung di Belgium dan Belanda bermula 14 hingga 30 Ogos depan, Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Jerman.

Selain itu, skuad negara turut dijangka berdepan laluan berliku apabila perlu menentang naib juara edisi lalu, Belgium serta Perancis yang kini berada di ranking ke-10 dunia.

Sementara itu, dua skuad gergasi Asia, India dan Pakistan yang diundi dalam Kumpulan D akan berdepan cabaran pasukan keempat dunia, England dan Wales.

Kumpulan A pula menyaksikan Jepun akan mengharungi cabaran pasukan nombor satu dunia dan tuan rumah bersama, Belanda, Argentina dan New Zealand.

Saingan Kumpulan C bakal menyaksikan pasukan gergasi dunia, Australia dicabar Sepanyol, Ireland dan Afrika Selatan.

Malaysia mengesahkan slot ke Piala Dunia meskipun menamatkan kempen kelayakan di tempat keempat kerana menduduki ranking lebih tinggi iaitu ke-15 dunia, mengatasi Wales di tangga ke-16 dan Poland di tangga ke-22 yang beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu lagi pusingan kelayakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top