Subdisi RON95: Fasa akhir perhalusi kelayakan, kaedah pelaksanaan

Subdisi RON95: Fasa akhir perhalusi kelayakan, kaedah pelaksanaan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi RON95 dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengusaha stesen minyak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini termasuk pengujian MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar penyasaran subsidi dilaksana secara efisyen tanpa merumitkan rakyat.

“Mekanisma MyKad ini digunakan dengan memasukkan MyKad ke terminal pembaca MyKad yang disediakan oleh kerajaan.

“Terminal ini akan berhubung dengan pangkalan data pusat kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota. Jika layak, rakyat boleh membeli RON95 dengan harga subsidi RM1.99 sen seliter dan sekiranya tidak, pembayaran dibuat mengikut harga dipam tanpa subsidi,” katanya pada Sesi Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga giat bekerjasama dengan syarikat minyak bagi mengkaji penyediaan pilihan kepada pengguna termasuk opsyen membeli minyak bersubsidi di pam tanpa perlu ke kaunter pembayaran.

“Serta menggunakan aplikasi syarikat minyak demi memastikan proses berjalan lancar dan mengelak sebarang kesesakan di stesen minyak,” katanya turut menjelaskan penggunaan kaedah MyKad juga sudah dilaksana ke atas inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata, buat masa ini, kriteria penerima subsidi RON95 masih belum dimuktamadkan.

“Mengambil kira penggunaan RON95 oleh rakyat biasa yang jauh lebih meluas berbanding diesel, adalah wajar pendekatan lebih terangkum diambil dalam menentukan golongan yang layak untuk subsidi ini.

“Ramai guna RON95 ulang alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan pengguna biasa tidak terbeban dengan penyasaran subsidi ini nanti. Kerajaan juga kekal untuk terus merancang penyasaran subsidi RON95 dengan perincian lanjut bakal diumumkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Anwar berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

Selain diesel, kerajaan juga sebelum ini sudah melaksana mekanisme penyasaran subsidi terhadap bil elektrik serta kos bagi menunaikan haji.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top