LANGKAH kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bagi petrol RON95 serta mengekalkan kadar tol sedia ada disifatkan sebagai tindakan bijak dan seimbang, menurut Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome, Aaron Kee.
Beliau berkata, keputusan kerajaan itu bukan sahaja mampu melindungi golongan rentan seperti penunggang motosikal, pekerja gig dan pemandu muda, malah membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini adalah pendekatan yang wajar kerana ia memastikan mobiliti kekal mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan harga RON95 akan diturunkan apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati harga lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
Katanya, perincian inisiatif yang bakal diumumkan menjelang akhir September itu memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Selain itu, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Keputusan berkenaan dibuat walaupun pelarasan kadar tol sepatutnya berlaku mengikut perjanjian konsesi.
Susulan penangguhan tersebut, kerajaan akan menanggung kos melebihi RM500 juta.
Antara lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Jelas Aaron Kee, dari sudut industri, pelaksanaan subsidi bersasar membolehkan harga bahan api lebih sejajar dengan pasaran sebenar, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam kos pemilikan kenderaan.
“Ini akan memudahkan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bijak ketika membeli atau memiliki kenderaan.
“Apabila digabungkan dengan pengekalan kadar tol sedia ada, dasar ini menawarkan lebih banyak kepastian kepada pengguna jalan raya dan menyokong perancangan mobiliti yang lebih teratur, terutama pada waktu di mana aspek kemampuan dan kecekapan menjadi keutamaan,” katanya.