SHAH ALAM – Pelaksanaan mekanisme subsidi diesel berasaskan MyKad di seluruh negara mulai Julai depan menerima reaksi positif dalam kalangan pengguna, sekali gus menyifatkannya sebagai pendekatan yang lebih bersasar, telus dan mudah.
Kontraktor, Yus Andika Yusuf Ahmad, 33, berkata, inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan peniaga kecil dan pengguna kenderaan diesel yang selama ini terkesan dengan peningkatan kos operasi.
Pemuda tersebut turut menyifatkan pelaksanaan subsidi diesel mampu mengatasi isu ketirisan dan penyalahgunaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Sejujurnya saya setuju dengan pelaksanaan subsidi diesel berasaskan MyKad ini kerana ia lebih telus dan subsidi disalurkan terus kepada rakyat.
“Sistem ini juga boleh mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, sepertimana pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95).
“Sebagai pengguna kenderaan diesel, saya berharap pelaksanaannya berjalan lancar dan tidak menyusahkan rakyat di stesen minyak nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Peniaga, Zaila Mohamed Ali, 48, berpandangan, penguatkuasaan berasaskan MyKad adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan subsidi diesel hanya dapat dinikmati oleh rakyat yang betul-betul layak dan memerlukan.
Tambahnya, sistem yang bakal diperkenalkan itu memudahkan warganegara kerana pengesahan dibuat secara terus menggunakan MyKad tanpa perlu melalui proses rumit.
“Saya menyokong pelaksanaan subsidi diesel berasaskan MyKad kerana jika guna kad pengenalan, sistemnya lebih telus, moden dan bersasar.
“Kerajaan juga dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan menyalurkan penjimatan tersebut kepada program yang lebih memanfaatkan rakyat,” ujar wanita itu.
Pengarah Pembangunan Perniagaan, Muhammad Munzir Abdul Halim, 34, turut senada dengan pandangan bahawa mekanisme subsidi tersebut memudahkan urusan harian penggunaan kenderaan diesel selepas ini.
“Ia satu perkara baik kerana ekonomi kita dipegang kukuh oleh pengguna bahan api diesel juga misalnya sektor pembangunan, pengangkutan dan pertanian.
“Jadi, ia membantu walaupun sebelum ini memberi impak besar buat kami ekoran peningkatan harga.
“Dalam masa sama saya mencadangkan penetapan harga diesel jangan dibiar berlaku penurunan dan kenaikan terlalu mendadak, mesti stabilkan kerana ia memang beri impak besar kepada sektor-sektor dimaksudkan,” jelasnya.
Selepas BUDI95 untuk petrol RON95, kerajaan kini memperkenalkan mekanisme subsidi diesel berasaskan MyKad di seluruh negara.
Melalui sistem baharu itu, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini, manakala bukan warganegara perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.



