Subsidi RON95 kekang impak konflik, inflasi masih terkawal

Subsidi RON95 kekang impak konflik, inflasi masih terkawal

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kesan konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi Malaysia dalam jangka pendek dilihat masih terkawal berikutan langkah kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 melalui subsidi bahan api.

Pensyarah Pembangunan Ekonomi, Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Tan Peck Leong berkata, pendekatan itu membantu mengekang tekanan inflasi daripada melonjak secara mendadak meskipun berlaku kenaikan harga minyak global.

“Selagi harga petrol domestik dikawal, tekanan inflasi kepada pengguna boleh dikekalkan pada tahap stabil,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, walaupun pendedahan perdagangan langsung Malaysia dengan Iran adalah kecil, kesan tidak langsung konflik tetap signifikan, khususnya melalui kenaikan harga minyak global.

Katanya, Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia menjadi laluan kritikal dan sebarang gangguan akan memberi tekanan kepada harga komoditi itu di peringkat global.

“Apabila harga minyak meningkat, kos tenaga dan pengangkutan turut meningkat di seluruh dunia, sekali gus memberi kesan rantaian kepada ekonomi,” katanya.

Tambah beliau, penjimatan daripada program subsidi bersasar BUDI95 yang dianggarkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun turut memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk menyerap kenaikan kos dalam tempoh terdekat.

Namun, beliau mengingatkan bahawa tekanan inflasi berpotensi meningkat dalam jangka panjang sekiranya konflik berlarutan dan harga minyak kekal tinggi.

“Kos tenaga akan meresap ke dalam kos pengeluaran dan pengangkutan, seterusnya memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas gangguan rantaian bekalan global, beliau berkata risiko di laluan strategik seperti Selat Hormuz akan meningkatkan kos penghantaran, insurans serta ketidaktentuan logistik.

“Dalam jangka pendek, kesannya masih terhad kerana kebanyakan perdagangan dimuktamadkan lebih awal, namun dalam jangka sederhana hingga panjang, impaknya akan lebih ketara,” katanya.

Menurutnya, Malaysia yang mengimport kira-kira 50 peratus keperluan makanan berdepan risiko peningkatan kos import jika harga minyak dan kos logistik global terus meningkat.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada harga domestik, malah berpotensi menjejaskan daya saing eksport susulan peningkatan kos pengeluaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik juga boleh memberi tekanan kepada nilai ringgit berikutan aliran keluar modal ke aset selamat.

Katanya, walaupun asas ekonomi negara masih kukuh, risiko jangka panjang tetap wujud jika ketidaktentuan global berpanjangan.

“Dalam keadaan tertentu, penyusutan ringgit boleh menyokong eksport, namun peningkatan kos input mungkin mengimbangi kelebihan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top