Subsidi telur tamat, kerajaan jimat RM45 juta sebulan – Mat Sabu

Subsidi telur tamat, kerajaan jimat RM45 juta sebulan – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan bakal meraih penjimatan sebanyak RM135 juta dalam tempoh tiga bulan hasil pengurangan subsidi telur ayam bermula 1 Mei lalu.

Langkah pengurangan subsidi secara berfasa itu akan berakhir sepenuhnya pada 1 Ogos ini, menurut beliau ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Seperti telah diumumkan kerajaan, subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula dengan pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji telur, berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu hingga 31 Julai ini,” katanya.

Kerajaan jimat RM45 juta sebulan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai penjimatan perbelanjaan subsidi dan impaknya terhadap pasaran serta kos sara hidup rakyat.

Mat Sabu atau lebih dikenali sebagai Abang Mat turut memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di pasaran tempatan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

“Pada Julai ini, anggaran pengeluaran telur ayam adalah sebanyak 1.75 bilion biji sebulan, dan keperluan penggunaan domestik dianggarkan 1.06 bilion biji.
“Ini menunjukkan lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji telur, yang sebahagiannya akan digunakan bagi tujuan pasaran eksport,” katanya.

Jelasnya lagi, kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus melakukan pemantauan terhadap bekalan dan harga telur bagi menjamin kestabilan pasaran.

“Dengan mengurangkan perbelanjaan itu, kerajaan dapat menyalurkan semula peruntukan subsidi kepada inisiatif dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,”ujarnya.

Artikel lain: Sudah belanja RM2.5 bilion sejak 2022, subsidi telur akan ditamatkan bermula Ogos -KPKM

Terdahulu pada April, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan keputusan untuk menamatkan subsidi telur ayam selepas mengambil kira komitmen industri dalam memastikan bekalan telur kekal stabil, memandangkan kos pengeluaran yang kini sudah kembali terkawal.

Sumber: FMT (Mohamad Fadli)

Scroll to Top