'Sudah 10 tahun kami bersedia dengan rumah rakit'

'Sudah 10 tahun kami bersedia dengan rumah rakit'

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Lebih 80 keluarga di Kampung Limau Kasturi, di sini, sudah bersiap menghadapi banjir besar yang dijangka berlaku pada tahun ini dengan membina rumah rakit sejak hampir 10 tahun lalu.

Penduduk mendakwa, susulan banjir besar yang berlaku pada tahun 2014, mereka mula mempersiapkan rumah rakit selepas banjir besar terbabit.

Namun rumah rakit yang dibina sejak hampir 10 tahun itu sehingga kini ada yang belum digunakan kerana banjir yang berlaku sebelum ini tidak seburuk tahun 2014.

Menurut salah seorang penduduk, Che Mas Abdul Latiff, 53, berkata, dia mengeluarkan kos RM7,000 bagi membina rumah rakit untuk kegunaan ketika banjir.

Katanya, dia membina rumah rakit itu selepas banjir besar tahun 2014 namun sehingga kini ia belum terapung dan digunakan kerana banjir tidak seburuk 10 tahun lalu.

“Ramai yang kata tahun ini akan berlaku banjir besar seperti 10 tahun lalu. Jadi dari awal saya sudah menyelenggara rumah rakit yang dibina selepas banjir besar terbabit.

“Walaupun belum pernah digunakan namun setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh saya akan membersihkan dan membaiki kerosakan atau menukar kayu yang reput.

“Saya membuat rumah rakit yang kukuh dan menggunakan kerangka bumbung jenis aluminium. Penduduk di sini tidak kisah perlu menyediakan perbelanjaan besar untuk membuat rumah rakit dan membeli bot bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda ketika banjir,” katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi, di sini.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda, 57, berkata, inisiatif berkenaan diambil penduduk kampung selepas bencana banjir besar penghujung tahun 2014 yang lalu mengakibatkan mereka kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Katanya lebih 80 buah rumah rakit disediakan penduduk terutama mereka yang tinggal berhampiran sungai dan di kawasan rendah dan tebing sungai.

“Boleh dikatakan setiap rumah penduduk di kawasan rendah mempunyai sebuah rumah rakit. Mereka akan simpan barangan elektrik, pakaian dan dokumen penting.

“Rumah rakit itu dibuat sendiri dengan kos bermula RM2,500 hingga lebih RM3,000 yang ditanggung sendiri penduduk kampung.

“Setiap tahun kami akan melakukan persediaan sebelum menghadapi musim tengkujuh untuk mengurangkan kerugian dan keselamatan diri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top