London: Pelbagai usaha dilakukan Stephanie Young untuk mendapatkan semula kucing kesayangan yang dinamakan Buddy hilang dari halaman rumahnya pada September tahun lalu.
BBC melaporkan, harapan Young kembali menyala apabila seorang wanita bernama Melissa menghantar gambar didakwa menunjukkan Buddy.
Wanita itu mendakwa telah memberi makan kepada kucing itu dan turut meminta wang ganjaran.
Pengasuh angkat haiwan dari Birmingham itu ‘100 peratus pasti’ dia telah menemui kucingnya.
Dia juga masih ingat bagaimana terpaksa mengeluarkan wang dari bank untuk membayar wang ganjaran bagi mendapatkan semula kucingnya itu.
Dalam tempoh beberapa jam, dia bersetuju untuk bertemu Melissa di lokasi berhampiran bagi mengambil Buddy.
Bagaimanapun, wanita itu tidak muncul, enggan menerima bayaran tunai, sebaliknya meminta 100 kad hadiah Apple sebagai ganjaran.
Ancaman untuk ‘menjual atau membunuh’ kucingnya kemudian menyusul selepas Young mendapati gambar Buddy itu dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan mula mempersoalkan identiti wanita itu.
Young adalah antara mangsa yang terpedaya dengan penipuan dalam talian, apabila penipu mengugut untuk membunuh haiwan peliharaan yang hilang selepas pemiliknya enggan membayar ratusan Pound untuk mendapatkannya kembali.
Penipu menyasarkan pemilik haiwan dengan menggunakan AI untuk menghasilkan gambar palsu haiwan peliharaan mereka serta mereka-reka kisah terperinci dan bukti palsu sambil mendakwa haiwan itu telah ditemui, sebelum mengugut mangsa dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Kes penipuan di United Kingdom (UK) semakin meningkat apabila penjenayah menggunakan AI, dengan hampir £1.3 bilion (kira-kira RM7.10 bilion) dicuri oleh penipu pada tahun 2025.
“Saya tidak akan menafikan bahawa setiap inci dalam diri saya mahukan kucing itu kembali. Mereka boleh memperdayakan anda. Semakin banyak mereka meminta, semakin anda berfikir,” katanya.
Kini, sudah 13 bulan sejak Buddy hilang dan kucing itu masih belum ditemui.
© New Straits Times Press (M) Bhd




