Sudah 4 hari Norhafsham hilang

Sudah 4 hari Norhafsham hilang

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Orang kurang upaya (OKU) mental hilang sejak empat hari lalu di kawasan Kampung Warisan, Taman Melawati.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Balai Polis Taman Melawati menerima laporan jam 1.04 tengah hari kelmarin daripada lelaki warga emas berusia 69 tahun.

Menurutnya, pengadu mengatakan pada 1 Ogos lalu jam lebih kurang 2.30 petang, dia menghantar anaknya, Norhafsham Nazri, 43, ke Kampung Warisan Taman Melawati untuk berehat.

“Pada hari yang sama jam 9.30 malam, pengadu mendapati anaknya masih belum pulang ke rumah, pengadu pergi ke Kampung Warisan untuk mencari anaknya namun tidak dijumpai.

“Bertindak atas maklumat terbabit, pihak polis telah meminta bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM )Zon 4 Hulu Langat bagi menjalankan operasi mengesan dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ops SAR ini turut disertai penduduk kampung, Sukarelawan dan Malim Gunung Jabatan Perhutanan Selangor.

“Siasatan polis mendapati mangsa disahkan OKU mental sejak dari tahun 2022.

“Pakaian terakhir mangsa adalah t-shirt berkolar bulat bercorak hitam/merah, seluar jeans gelap, kasut sukan dan membawa beg galas berwarna hitam,” katanya.

Mohd Azam berkata, berdasarkan pencarian awal pada kelmarin, penduduk kampung menjumpai beg galas dipercayai milik mangsa di lokasi susur menaiki Bukit Tabur Taman Melawati.

“Misi mencari dan menyelamat tertumpu di sekitar laluan ke Bukit Tabur dan sekitar Hulu Sungai Klang.

“Sehingga hari ini, didapati mangsa sudah hilang empat hari dan polis menubuhkan Post Kawalan Polis ditempat kejadian bagi menyelaras SAR,” katanya.

Katanya, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Taman Melawati.

“Orang ramai yang berhasrat untuk membantu SAR dikehendaki melapor diri di Post Kawalan Polis di tempat kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top