Sudah 6 tahun bersama Kristal, Ewal pilih 'jalan terus' tak peduli kecaman

Sudah 6 tahun bersama Kristal, Ewal pilih 'jalan terus' tak peduli kecaman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Ewal Hafiz memaklumkan dirinya selesa bergerak bersama kumpulan Kristal yang diketuai oleh Rody (pemain gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).

Ewal atau nama sebenarnya, Ikhwal Hafiz Ismail, 34, yang sudah enam tahun bersama Kristal berkata, dia mengambil pendekatan ‘jalan terus’ dan tidak mempedulikan kecaman atau kritikan terhadapnya.

“Saya percaya setiap komen negatif yang ditulis itu mencerminkan mentaliti individu terbabit, namun ia tak beri kesan kepada saya dan Kristal.

“Netizen hanya suka tulis di media sosial tapi hakikatnya semasa persembahan tak ada pun yang tak suka saya atau buat perkara buruk. Tak pernah berlaku pun.

“Saya memang tak pernah balas satu pun komen negatif yang dilontarkan sebab bagi saya, kita tahu tahap mentaliti orang yang menulis komen begitu.

“Orang yang mempunyai mentaliti yang bagus dia tak akan macam itu. Malah kadang-kadang mereka yang komen itu pun belum tentu pernah datang tengok persembahan kami secara depan-depan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di Jabatan Undang-Undang Malaysia, Putrajaya.

Kristal akan terbabit dalam enam lokasi Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi yang akan membuka tirai di Putrajaya pada 26 hingga 28 Jun ini.

Ewal berkata, dia gembira apabila penonton memberikan reaksi positif terhadap persembahan Kristal dipelbagai lokasi.

“Selalunya bila persembahan penonton memberi reaksi yang baik dan terhibur. Maksudnya persembahan yang kami lakukan meninggalkan kesan yang baik kepada penonton.

“Hubungan saya dengan Rody serta anggota lain pun okey sebab kami dah kenal sejak usia muda. Sejak umur saya 12 tahun, kami sudah berkongsi pentas dan buat persembahan bersama.

“Jadi apabila saya diberi tanggungjawab sebagai penyanyi utama, saya sebenarnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima apa sahaja sama ada pujian ataupun tohmahan daripada orang ramai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top