norhayati_nordin@hmetro.com.my
MENYEDARI tidak mudah memuaskan hati semua pihak, pelakon Qasrina Karim, 29, mengambil positif setiap kritikan dan apa saja yang diberikan orang ramai terhadap lakonannya.
Qasrina bakal muncul dengan drama adaptasi novel popular, Thariq Ridzuwan: His Treasure dengan membawa watak Radwa yang disifatkannya agak berat dan mencabar.
Ditemui di ibu kota pada majlis pelancaran baru-baru ini, Qasrina yang ditanya berhubung dakwaan dirinya dikatakan tidak sesuai untuk membawakan watak Radwa, bagaimanapun akur dengan pandangan berkenaan.
“Sebagai pelakon yang masih baharu, saya tak nafikan masih banyak perlu dipelajari dan diperbaiki dalam mutu lakonan. Bagaimanapun, bagi watak Radwa ini saya sudah berusaha memberi yang terbaik.
“Tetapi, kalau ada yang rasa saya tidak sesuai untuk bawakan watak ini, tidak mengapa. Saya terima dengan baik dan memang karakter sebagai Radwa itu sangat mencabar.
“Saya ada rasa tak gembira juga di set penggambaran apabila memikirkan watak ini yang agak berat. Namun, saya tetap mahu mencuba. Pengarah dan rakan pelakon lain juga banyak membantu,” ujarnya.
Dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure arahan Eyra Rahman ini Qasrina digandingkan dengan Meerqeen sebagai teraju utama sekali gus pasangan kekasih.
Mengulas juga pengalamannya bekerja dengan Eyra, wanita dikatakan seiras pelakon Mira Filzah ini memberitahu, ia umpama impian yang menjadi kenyataan.
“Memang ‘best’ apabila dapat bekerja dengan kak Eyra yang bagi saya cara pengarahannya sangat bagus. Ditambah, saya juga sudah lama ingin bekerja dengannya (Eyra) dalam drama.
“Jadi, boleh dikatakan juga impian saya menjadi kenyataan. Malah, apa yang saya harapkan semoga drama Thariq Ridzuwan: His Treasure ini diterima baik oleh penonton nanti.
“Apapun sepanjang dalam penggambaran drama ini, bagi saya semua pelakon terbabit sudah memberikan komitmen terbaik dan kami semua saling membantu dalam lakonan watak masing-masing,” jelasnya.
Selain Qarina dan Meerqeen, Thariq Ridzuwan: His Treasure turut dibintangi barisan pelakon baharu berbakat seperti Evertts Gomes, Thompson Goh, Noki K-Clique, Afiq Hamidon, Edaman Othman, Darien Aeldra dan ramai lagi.
Drama bertemakan aksi dan percintaan yang disiarkan 20 Episod terbitan MIG Production Sdn Bhd akan menemui penonton Astro Ria mulai 23 Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd