KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Dafi Ismail, mengakui sudah jarang berhubung dengan bekas abang ipar, Datuk Jovian Mandagie yang kini menetap di Jakarta, Indonesia.
Oleh itu Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 36, enggan mengulas lanjut sebarang isu membabitkan Jovian yang dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
“Saya tak boleh beri komen sebab tak berapa pasti apa situasi dia. Saya pun jarang berhubung dengannya. Lagipun saya pun tak berapa tahu mengenai perkara itu.
“Sebenarnya saya ambil pendekatan untuk tidak terlibat atau ambil tahu hal-hal politik ini sebab itu bukan dunia saya. Jadi, bukan tempat untuk saya bercakap apa-apa,” katanya.
Dafi ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Martabat: Misi Berdarah di Midvalley Megamall, semalam.
Bagaimanapun, penyanyi Bila Terasa Rindu itu yakin Jovian akan memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan berharap segala proses berjalan lancar.
“Saya harap apa saja proses yang dia lalui akan dipermudahkan.
“Saya rasa dia akan (Jovian akan beri kerjasama). Tapi saya tak boleh nak cakap bagi pihak dia. Itu kena tanya dia sendiri,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum merakam kenyataan Jovian, susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas bapa mentuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan pihaknya akan merakam keterangan Jovian dalam masa terdekat di Indonesia.
Difahamkan, beberapa dokumen penting perlu disahkan oleh Jovian bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Azam dilapor berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Jovian pernah berkahwin dengan kakak kepada Dafi iaitu Nina Ismail Sabri sebelum bercerai pada Ogos 2022.
Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie,7.-UTUSAN