Sudah panggil penganjur kursus langgar SOP PKPB

Sudah panggil penganjur kursus langgar SOP PKPB

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil penganjur kursus di sebuah hotel di Shah Alam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan sekumpulan individu menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika sesi program itu April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan awal mendapati kursus itu dianjurkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dalam tempoh berkenaan, penganjuran program dan majlis dibenarkan. Bagaimanapun, siasatan dijalankan kerana kita mendapati ada beberapa pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Ahad lalu, polis mengesahkan menerima satu laporan mengenai pelanggaran SOP membabitkan sekumpulan individu yang menghadiri kursus dipercayai berlaku di sebuah hotel di Shah Alam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 1 minit dan 34 saat yang memaparkan sekumpulan individu menari dalam sebuah dewan tanpa memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal tular di Facebook.

Mengulas perkembangan siasatan pegawai berhibur di balai polis, Arjunaidi berkata, pihaknya sedang giat menyiasat kes itu daripada aspek keperluan tindakan tatatertib dan jenayah.

“Siasatan berjalan dan kita tunggu keseluruhan siasatan selesai untuk tindakan susulan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman menahan ketua balai polis bersama tiga anggotanya yang berhibur bersama empat wanita yang juga orang awam di sebuah balai polis di daerah Kajang.

Ketua balai polis berpangkat sub inspektor bersama dua koperal dan seorang koperal sokongan ditahan selepas menjadikan sebuah bilik di balai polis itu seperti disko dengan lampu berputar turut dipasang di dalamnya.

Polis turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Ditanya dakwaan insiden tembakan di Cheras terhadap kereta yang turut dinaiki kanak-kanak, Arjunaidi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu secara terperinci.

“Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melepaskan tembakan ketika mahu tangkap suspek. Siasatan awal mendapati tindakan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) pasukan keselamatan itu.

“Bagaimanapun, dakwaan keluarga suspek mengenai perkara itu akan diteliti dan siasatan giat dilakukan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung insiden suspek dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah cuba melarikan diri sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan di hadapan pos pengawal Taman Bayu Mas, Cheras Hartamas, Cheras di sini, 22 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, suspek yang memandu sebuah kenderaan cuba ditahan sepasukan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dipetik berkata suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak memberhentikan kenderaan sebelum memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata, pihaknya masih giat melengkapkan kertas siasatan kes kematian seorang lelaki iaitu suspek kes tetak bayi perempuan berusia 20 bulan di Kuala Selangor.

“Kita masih jalankan siasatan dan meneliti beberapa perkara. Ada lagi laporan yang kita belum terima dan bila kertas siasatan lengkap, ia akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, polis menerima panggilan mengenai insiden pergaduhan keluarga di Kampung Parit Mahang, Jeram yang dipercayai berpunca daripada isu kewangan.

Polis kemudian menahan suspek 1.30 tengah hari di lokasi kejadian dan merampas sebilah parang panjang.

Malah ketika tangkapan itu, suspek didapati mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan di antara ahli keluarga yang cuba menahan suspek sebelum polis tiba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top