Sudah tiga minggu kakak hilang, semua aplikasi media sosial dinyahaktif

Sudah tiga minggu kakak hilang, semua aplikasi media sosial dinyahaktif

am@hmetro.com.my

Tumpat: Penuntut Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) kampus Alor Setar, Kedah dipercayai hilang sejak tiga minggu lalu.

Nor Diana Mohd Najib, 21, sepatutnya pulang ke rumahnya di Perumahan KTMB Tumpat, di sini, pada 29 Februari lalu ketika cuti pertengahan semester, namun tidak berbuat demikian malah sehingga kini wanita itu gagal dikesan keluarga.

Ibunya, Maznah Ismail, 44, berkata, dia menyedari kehilangan anak kedua dari empat beradik itu apabila gagal menghubunginya juga penuntut tahun pertama Diploma Kejururawatan.

“Awal bulan ini saya ada menghubungi Diana namun gagal dan cuba bersangka baik mungkin dia ingin fokus kepada pengajian.

“Beberapa hari selepas itu panggilan juga masih tidak dijawab menyebabkan kami menelefon penyelia kolej.

“Alangkah terperanjatnya apabila dimaklumkan penuntut sedang bercuti selama 10 hari bermula 29 Februari dan kami menjadi cemas kerana Diana masih gagal dikesan.

“Pada 7 Mac lalu, Diana ada menelefon saya menerusi WhatsApp, saya tanya sama ada ingin pulang ke kampung atau tidak, namun dia hanya menjawab tidak tahu sambil menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Maznah berkata, anaknya yang mesra disapa kakak juga memberitahu ingin berhenti belajar dan mencari kerja lain.

Katanya, tindakan itu agak pelik sedangkan Nor Diana sangat meminati kerjaya sebagai jururawat malah sanggup berulang kali menduduki peperiksaan kelayakan.

Katanya, sebelum ini Nor Diana mengakui mengenali seorang wanita bernama Ika melalui Instagram dan dalam panggilan terakhir itu juga, Maznah sempat bercakap dengan Ika yang mendakwa berasal dari Meru, Perak.

Katanya, Ika memaklumkan Nor Diana ingin menumpang rumahnya selama dua hari sahaja sebelum panggilan diputuskan.

“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan kakak dan selepas saya berhubung melalui WhatsApp sahaja.

“Namun, apa yang menghairankan pertanyaan kami hanya dibalas ringkas sahaja dan ayatnya juga sangat berbeza, malah kakak juga membahasakan diri sebagai ‘saya’.

“Ia membuatkan kami yakin bukan dia yang berkomunikasi dengan kami malah kami semakin buntu apabila Telegram, Instagram serta WhatAspp kakak sudah tiada,” katanya.

Maznah berkata, mereka sudah membuat laporan di Balai Polis Tumpat dan ia dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah namun sehingga kini pihaknya belum menerima khabar positif mengenai kehilangan Nor Diana.

Katanya lagi, dia juga sudah pergi ke kolej kediaman anaknya di ILKKM kampus Alor Setar pada 10 Mac lalu untuk bertemu tenaga pengajar serta rakan Nor Diana namun semuanya hampa.

Katanya, mereka turut merujuk beberapa ustaz yang memberitahu Nor Diana sebenarnya ingin pulang tapi terhalang oleh seseorang.

“Kami sudah buntu tapi dalam masa yang sama tidak henti solat hajat dan berdoa mengharapkan kakak selamat dan kembali ke pangkuan kami,” katanya yang boleh dihubungi di talian 0179343461.

© New Straits Times Press (M) Bhd