am@hmetro.com.my
Machang: “Cuaca memang panas luar biasa sejak beberapa hari lalu sehinggakan waktu malam pun terpaksa mandi beberapa kali.”
Demikian luahan penduduk di Kampung Labok, Machang, Syahman Kamaruddin, 44, apabila daerah itu antara dua daerah di Kelantan yang merekodkan suhu maksimum harian sehingga 37 darjah Celcius.
Beliau berkata, dalam keadaan cuaca panas, bekalan air pula keruh sekaligus sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian mereka sekeluarga.
“Rumah ayah saya di Machang, manakala rumah saya di Pasir Mas. Cuaca panas ini memang kita sudah biasa, namun untuk di Machang sejak beberapa hari ini panasnya agak luar biasa.
“Bayangkan pada waktu malam pun panas, anak-anak terpaksa mandi beberapa kali sebelum tidur, apatah lagi pada waktu siang.
“Nak mandi pula perlu fikir beberapa kali melihat keadaan air yang keruh seperti karat. Masalah air ini sudah lama namun dengan keadaan cuaca panas yang memerlukan penggunaan air banyak, memang aktiviti harian kami terjejas.
“Justeru saya berharap kerajaan negeri bersiap sedia dengan cuaca panas supaya bekalan air terutama ketika Aidiladha mencukupi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu media melaporkan, beberapa daerah di tiga negeri kini berada di Tahap 1 atau berjaga-jaga kerana mencatatkan suhu maksimum harian hingga 37 darjah Celcius tiga hari berturut-turut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiga negeri itu ialah Kedah membabitkan daerah Bandar Baharu, Perak (Larut dan Matang, Kuala Kangsar serta Perak Tengah) dan Kelantan (Machang dan Kuala Krai).
Sementara itu, negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak mencatatkan suhu harian kurang daripada 35 darjah Celcius.
© New Straits Times Press (M) Bhd