GOMBAK: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan agar mengkaji semula ketetapan had umur persaraan wajib penjawat awam serta memperkenalkan model persaraan yang lebih fleksibel mengikut kapasiti dan keupayaan individu.
Langkah itu penting bagi memastikan golongan warga emas yang masih produktif dan mempunyai keupayaan fizikal serta mental diberi pilihan untuk terus berkhidmat dan bukannya dipaksa menamatkan perkhidmatan oleh undang-undang.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mengekalkan had umur persaraan penjawat awam pada usia 60 tahun sekali gus mengetepikan cadangan awal untuk menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Data rasmi menunjukkan purata jangka hayat rakyat Malaysia kini mencecah 73 tahun bagi lelaki dan 78 tahun bagi wanita.
“Ini bermakna, penjawat awam yang bersara wajib pada usia 60 tahun memerlukan dana pesaraan yang mencukupi untuk menampung kelangsungan hidup bagi tempoh sekurang-kurangnya 13 hingga 18 tahun selepas persaraan.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai persediaan kewangan yang kukuh, amat sukar untuk golongan ini mencari pekerjaan baharu apabila usia sudah mencecah 60 tahun,” katanya semasa berucap ketika Sidang Pakar 2.0 Pemerkasaan Warga Emas: Ke Arah Keadilan Sosial Menjelang 2030 yang berlangsung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun Malaysia diunjurkan bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2036 iaitu mengalami kelewatan selama enam tahun berbanding ramalan awal pada 2030, perubahan garis masa itu tidak sepatutnya membuatkan negara berasa leka sebaliknya memberi ruang yang lebih luas kepada Malaysia untuk melakukan persediaan yang rapi serta komprehensif bagi mendepani cabaran sebuah negara menua.
“Generasi tua hari ini yang berambut putih jangan sesekali dianggap sebagai satu liabiliti kepada negara. Mereka adalah golongan yang mempunyai kuasa dan kebijaksanaan yang terhasil daripada pengalaman dan kesilapan masa lalu.
“Kebijaksanaan inilah yang amat penting bagi mencorak masa depan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memetik kenyataan Pakar Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi warga emas, Dr. Claudia Mahler yang menyifatkan had persaraan wajib yang rigid sebagai satu bentuk diskriminasi berasaskan umur.
“Tenaga dan minda mereka masih kuat. Warga emas sepatutnya diberi model persaraan yang fleksibel berdasarkan keupayaan yang dinilai oleh pakar bukannya dipaksa bersara oleh undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan kepada kumpulan kakitangan penjawat awam buat masa ini.-UTUSAN




