mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Cabaran cuaca sejuk mencecah -5 darjah Celsius tidak membantutkan semangat pendaki Malaysia, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa untuk meneruskan misi menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest yang berketinggian 8,849 meter (m).
Pegawai Bomba Kanan (PBK) I yang sedang menjayakan misi dalam Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025 itu berkata, dia memulakan pendakian ke Everest Base Camp (EBC), Kathmandu, Nepal atau Kem Induk Everest itu dari Lukla, 10 April lalu sebelum berjaya tiba di ketinggian 4,400m, petang semalam.
Katanya, pendakian hari kelima diteruskan dari Namche Bazar kira-kira 8 pagi, 15 April lalu
membabitkan perjalanan sejauh 12.7 kilometer (km) serta mengambil masa tujuh jam.
“Saya mula mendaki dari Namche Bazar pada ketinggian 3,440 m. Cuaca dalam keadaan baik iaitu cerah di waktu pagi, berangin dan mendung pada tengah hari manakala petang salji ringan tetapi Everest mula kelihatan.
“Saya juga sempat berhenti berehat untuk makan tengah hari di Phuki Tengga sebelum tiba di Tengboche pada 1 petang dan Deboche berketinggian 3,900m untuk bermalam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Fakhrul Munir,43, berkata, semalam dia meneruskan lagi pendakian sejauh 10.4km dengan mengambil masa enam jam.
“Saya mula mendaki dari Deboche pada 8 pagi sebelum berhenti rehat makan tengah hari di Somare dan tiba di Dingboche yang berketinggian 4,400m untuk bermalam.
“Setakat ini, keadaan kesihatan saya juga masih baik dengan tahap oksigen mencecah 94 dan 92 peratus,” katanya.
Berkongsi mengenai cabaran, Mohd Fakhrul Munir berkata, semakin tinggi pendakian, sudah pasti dia perlu berdepan dengan suhu sejuk ketika ini mencecah -5 darjah Celsius.
“Semakin tinggi (pendakian) semakin sejuk dan oksigen pun semakin menipis.
“Saya sedang membiasakan badan saya di altitud tinggi dan menjaga selera makan untuk mengekalkan tenaga,” katanya.
Dalam misi itu katanya, dia akan dibantu dua sherpa untuk membawanya sehingga ke puncak Gunung Everest.
“Seperti kebiasaan, semua pendaki Everest akan mula berkampung di EBC pertengahan Mac hingga April sambil melakukan beberapa ‘rotation’ pembiasaan dan latihan di puncak berhampiran.
“Pendakian menuju ke EBC yang berketinggian 5,300m itu kebiasaannya memakan masa sembilan ke 11 hari bermula dari Lukla,” katanya.
Mohd Fakhrul Munir yang berasal dari Sik, Kedah adalah Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia pendakian termasuk berjaya menawan Gunung Kilimanjaro,Tanzania yang berketinggian 5,895m pada Februari tahun lalu serta Mera Peak di Nepal yang berketinggian 6,400m.
Pada 7 April lalu, Mohd Fakhrul Munir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebelum tiba di Kathmandu untuk melakukan beberapa pendakian bagi mengelak penyakit ketinggian atau acute mountain sickness (AMS).
Projek berkenaan mendapat sokongan penuh pengurusan tertinggi JBPM dan dianjurkan bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn Bhd dan Kumpulan Al Baghdadi Group Sdn Bhd.
Projek Pendakian Amal Bomba de Everest itu bukan sekadar satu pencapaian peribadi, namun bertujuan mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban ketika menjalankan tugas serta mereka yang masih dalam perkhidmatan.
Pada masa sama, projek itu turut mengumpul dana untuk pembedahan dan rawatan transplantasi (buah pinggang) serta tabung pendidikan Yayasan Al Baghdadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

