Suhu lebih 40 darjah Celsius, jemaah haji kurangkan aktiviti luar

Suhu lebih 40 darjah Celsius, jemaah haji kurangkan aktiviti luar

MAKKAH – Bahang cuaca panas di Kota Suci semakin dirasai apabila suhu pada waktu siang kini mencecah lebih 40 darjah Celsius menjelang kemuncak musim haji yang berbaki beberapa hari lagi.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan jemaah haji mula mengehadkan pergerakan di luar bangunan terutama antara jam 11 pagi hingga 4 petang bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca terik.

Tinjauan di sekitar Makkah mendapati ramai jemaah menggunakan payung, topi dan membawa botol air ketika berjalan kaki selain mencari kawasan teduhan bagi mengurangkan kesan cuaca panas semasa menunaikan ibadah.

Terdapat juga jemaah yang memilih menunaikan solat Zuhur dan Asar di surau berhampiran penginapan bagi mengurangkan pendedahan terlalu lama kepada cuaca panas.

Malah, sebahagian besar jemaah haji Malaysia kini lebih selesa menunaikan tawaf sunat di Masjidilharam pada waktu malam atau awal pagi kerana suhu ketika itu lebih rendah iaitu sekitar 27 hingga 33 darjah Celsius.

Cuaca panas turut mendorong jemaah haji Malaysia mengambil pelbagai langkah persediaan bagi menjaga kesihatan sepanjang musim haji ini.

Nor Syazwani Mohd Rafee, 34, dari Terengganu berkata, persediaan awal amat penting terutama untuk menghadapi keadaan cuaca panas sepanjang berada di Makkah.

Menurutnya, dia sudah membuat persediaan sejak dari Malaysia dengan membawa pelbagai keperluan termasuk topi dan kipas tangan.

“Kalau tengok keadaan sekarang memang sangat panas. Jadi dari Malaysia lagi saya memang dah bersedia termasuk bawa topi dan kipas dalam beg.

“Setiap kali pergi ke masjid terutama selepas duduk atau berehat, saya akan gunakan kipas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya memilih waktu yang lebih sesuai untuk ke Masjidilharam bagi mengelakkan cuaca terlalu panas.

Katanya, waktu antara Maghrib hingga Isyak lebih selesa untuk beribadah di masjid berbanding waktu tengah hari.

“Kalau waktu pagi macam selepas Subuh masih okey, tetapi kalau waktu Zuhur atau Asar memang elok dielakkan sebab terlalu panas,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hassanuddin Zainul Abidin, 26, dari Shah Alam berkata, beliau turut membuat persediaan dengan membawa payung dan cermin mata hitam bagi mengurangkan risiko strok haba.

Menurutnya, jemaah juga dinasihatkan oleh Tabung Haji (TH) supaya mengurangkan aktiviti luar terutama antara waktu Zuhur dan Asar.

“Kalau berjalan memang mesti bawa payung untuk elakkan terkena strok haba dan sebagainya.

“Kami juga sentiasa pastikan minum air secukupnya sebagai persediaan menghadapi musim haji nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, jemaah diingatkan supaya memberi perhatian terhadap pengambilan air secukupnya dan menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan.

Katanya, jemaah juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama ketika cuaca terlalu panas bagi mengelakkan risiko tekanan haba dan strok haba.

“Tabung Haji ingin terus mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan diri memandangkan cuaca di Tanah Suci dijangka menjadi lebih panas menjelang hari wukuf,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Menurut beliau, jemaah haji perlu menyimpan tenaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama setiap jemaah adalah untuk berwukuf di Arafah.

“Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW dalam riwayat Imam al-Tirmizi: ‘Al-Hajju Arafah’ yang bermaksud ‘Haji itu adalah wukuf di Arafah’,” katanya.

 

Scroll to Top