hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Haiwan yang diselamatkan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini sudah diserahkan kepada pemilik masing-masing.
Setakat ini, lebih 50 haiwan berjaya diselamatkan pihak berkuasa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) haiwan sejak Selalu dan Kuil Sri Maha Kaliamman, di sini, menjadi pusat rawatan sementara bagi haiwan yang terjejas dalam insiden berkenaan.
Pengurus Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), Kelvin Cheah berkata, sebanyak 46 kucing, lapan anjing dan dua ekor ular diselamatkan.
“Lapan kucing dan seekor anjing belum mempunyai pemilik manakala selebihnya selamat dikembalikan kepada tuannya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ada juga haiwan yang tidak dapat diselamatkan dalam insiden berkenaan.
“Sebenarnya banyak haiwan yang tidak dapat diselamatkan, tetapi pasukan penyelamat kita mengambil bangkai haiwan berkenaan dan menyerahkannya kepada bomba untuk proses tanam.
“Haiwan terbakar disebabkan suhu yang dikatakan lebih 1,000 darjah celcius dan hanya tinggal tulang ketika ditemukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat anjing yang cedera terbakar di telinga dan kucing yang melecur pada tapak kaki namun sudah menerima rawatan, semalam.
Menurutnya, setakat ini bantuan makanan haiwan disalurkan oleh orang awam juga mencukupi dengan lebihan makanan akan disalurkan kepada pemilik haiwan bagi meringankan beban mereka.
Semalam media melaporkan, kira-kira 20 hingga 30 haiwan peliharaan dan haiwan liar berjaya diselamatkan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




