norhayati_nordin@hmetro.com.my
Diam tak diam, Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah sebagai penyanyi dan pemain gitar, Putuceri (bass) dan Asmawi (gitar) sudah sedekad dalam industri muzik tempatan.
Apa yang menarik, lagu-lagu Masdo bukan hanya diminati golongan muda tanah air, namun menyebar luas hingga ke Indonesia berikutan mereka popular di TikTok.
Baru-baru ini, tiga pemuda berbakat itu muncul menjayakan konsert istimewa, Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun di Zepp Kuala Lumpur yang ternyata banyak kejutan dibawa kepada penonton.
Rangkaian lagu-lagu dipersembahkan juga sememangnya diminati ramai sehingga ruang dewan konsert bergema dengan suara penonton yang ‘sing along’ dengan gembira.
Ali yang berterima kasih kepada peminat Masdo menyifatkan mereka tidak menyangka perjuangan dalam bidang muzik diceburi ini sudah bertahan selama 10 tahun.
“Apa yang kami inginkan anda semua terhibur dengan konsert ini. Terima kasih juga sebab menerima baik lagu-lagu Masdo. Kami berkarya dengan ikhlas.
“Saya amat berbesar hati dengan sokongan yang kalian semua berikan selama ini. Masdo bersyukur hasil kerja keras kami dalam muzik tidak disia-siakan,” katanya.
Dibawakan penganjur Hitman Solutions, konsert Masdo itu disambut penuh warna-warni daripada ribuan peminat untuk mengimbau kembali satu dekad perjalanan muzik Masdo.
Penuh dengan kenangan dan detik suka duka perjalanan mereka, Masdo tetap berasa ia satu penghormatan bermakna yang berjaya menempatkan diri di hati peminat muzik tanah air.
Tirai konsert dibuka dengan lagu Teruna & Dara dengan dimuatkan bersama paparan visual perjalanan Masdo sejak 2015 di layar besar untuk membangkitkan nostalgia.
Diikuti seterusnya dendangan lagu seperti Janji Manis, Dinda dan Ratu Hati yang menggamatkan segenap dewan menerusi penyatuan kuasa muzik Masdo.
Malah, kemunculan barisan artis jemputan juga membawa magis tersendiri di atas pentas. Antaranya, penyanyi Heidi Moru yang tampil bersama Masdo menyanyi lagu Pujaanku.
Menariknya lagi, Pujaanku itu diberi nafas baharu dalam susunan muzik yang segar sebagai lagu hit kesukaan ramai hingga ke luar Malaysia.
Tidak ketinggalan, penyanyi, Noh Salleh yang diakui antara individu penting di sebalik kejayaan Masdo berjaya mencuri perhatian dengan lagu Inilah Jalannya.
Noh yang muncul juga bersama kumpulan Hujan dalam konsert Masdo itu mempersembahkan penuh bertenaga lagu lain seperti Janji Manis dan Aku Scandal.
Begitu juga, persembahan daripada Fizan Bittersweet yang muncul memukau penonton ketika menyanyikan lagu Nearly Near You yang dirasakan luar biasa.
Difahamkan, lebih daripada 15 lagu dinyanyikan Masdo pada konsert berkenaan yang pastinya membuatkan penonton puas dan rasa berbaloi membeli tiket.
Sempena meraikan sambutan 10 tahun itu, Masdo juga dikejutkan dengan kedatangan ibu mereka di atas pentas yang sekali gus ibu dan anak saling berpelukan gembira.
Sementara itu, Pengurus Masdo, Cheman berkata, dia mewakili kumpulan itu gembira dengan sambutan konsert berkenaan.
“Ini bukan sekadar sambutan untuk kami sebagai sebuah kugiran, tetapi untuk seluruh keluarga besar kami terutamanya peminat.
“Kami bangga dan bersyukur peminat sentiasa setia bersama Masdo sepanjang perjalanan ini. Kami bermula hanya dengan satu impian kecil dan konsert ini menyaksikan sebaliknya.
“Inilah hadiah terindah yang pernah Masdo peroleh. Terima kasih kerana menghidupkan 10 tahun ini bersama-sama kami dan terus memastikan muzik retro moden kekal segar serta relevan.” katanya.
Ada segelintir peminat Masdo menggambarkan Konsert Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun itu seakan perjalanan mereka merentas zaman kegemilangan muzik retro pada era moden ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




