Sukan Asia 2026: Eain Yow, Sivasangari galas misi besar buru tiket ke LA28

Sukan Asia 2026: Eain Yow, Sivasangari galas misi besar buru tiket ke LA28

 

JUARA bertahan Ng Eain Yow dan S Sivasangari menggalas misi besar pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, bulan depan apabila temasya itu menjadi pentas kelayakan pertama ke Sukan Olimpik 2028 sempena penampilan sulung acara skuasy di Los Angeles (LA2028).

 

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Andrew Cross, berkata meskipun pasukan berazam untuk mengulangi pencapaian meraih tiga pingat emas seperti edisi terdahulu, insentif tambahan menerusi peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik menjadikan temasya itu detik penting buat dua atlet utama negara berkenaan.

 

“Saya fikir sudah tentu tidak mudah untuk mengulangi apa yang kami capai beberapa tahun lepas, namun itulah yang sedang kami usahakan.

 

“Itulah yang kami mahukan. Kali ini kami juga mempunyai kelebihan tambahan apabila ia menjadi pentas kelayakan pertama ke Sukan Olimpik, yang sangat besar maknanya.

 

“Jadi, bagi Eain Yow dan Sivasangari, perkara itu sangat penting,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan, ke pusat latihan di sini pada Khamis.

 

Sebagai rekod, Malaysia muncul sebagai kuasa besar skuasy Sukan Asia 2022 apabila menyapu bersih tiga pingat emas menerusi Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki, Sivasangari dalam acara perseorangan wanita serta pasukan wanita yang dianggotai Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman.

 

Andrew, ketika mengulas mengenai persiapan semasa atlet negara, melahirkan rasa puas hati terhadap perkembangan pemain, sambil menjelaskan tumpuan kini terarah kepada usaha meningkatkan prestasi menerusi beberapa kejohanan akan datang selepas berehat seketika susulan berakhirnya Kejohanan Terbuka British pada Jun.

 

Bagi memastikan Malaysia terus mendahului pencabar, beliau berkata barisan kejurulatihan telah memulakan analisis video secara intensif bagi meneliti kekuatan dan kelemahan lawan sebelum pasukan berlepas ke Jepun kira-kira enam minggu lagi. – Bernama

 

Scroll to Top