KUALA LUMPUR: Perenang negara, Khiew Hoe Yean menegaskan tumpuan utama skuad renang kebangsaan ketika ini masih terarah kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 meskipun bertekad memberikan aksi terbaik pada Sukan Komanwel yang akan membuka tirai penghujung bulan ini.
Menurut Hoe Yean, keseluruhan program latihan pasukan dirancang bagi memastikan mereka mencapai prestasi kemuncak di Jepun, manakala Sukan Komanwel dilihat sebagai medan terbaik untuk mengukuhkan persiapan menghadapi temasya lebih besar itu.
“Bagi kami, sasaran utama adalah Sukan Asia kerana di situlah kami mahu berada pada tahap terbaik.
“Sukan Komanwel juga penting dan kami tetap mahu mempamerkan prestasi yang baik, namun keutamaan kami masih lagi tertumpu kepada Sukan Asia,” katanya.
Atlet berusia 24 tahun itu dijadual menggalas cabaran negara dalam lima acara iaitu 400 meter (m) gaya bebas, 800m gaya bebas, 1,500m gaya bebas, 4x100m gaya bebas berganti-ganti dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti.
Dalam perkembangan lain, Hoe Yean mengakui barisan perenang negara semakin serasi di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Michael Kinross, menjelang dua temasya utama berkenaan.
Katanya, kehadiran Kinross sejak siri Jelajah Renang Mare Nostrum pada Mei lalu memberi impak positif apabila semua perancangan latihan dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan.
“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan kami semakin menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu, malah saya rasa persiapan ini memberi manfaat kepada seluruh pasukan.
“Kami semua teruja untuk menghadapi Sukan Komanwel terlebih dahulu sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada cabaran di Sukan Asia 2026,” katanya. – UTUSAN




