sukan@hmetro.com.my
Kuching: Sukan Borneo yang bakal dianjurkan semula dalam edisi terbarunya akan memberi tumpuan kepada penyertaan negeri, wilayah dan negara dalam Kepulauan Borneo, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagaimanapun Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu tidak menolak kemungkinan untuk membuka kejohanan itu kepada penyertaan luar bagi edisi akan datang secara jemputan.
“Terdapat tiga negeri yang sudah menunjukkan minat untuk turut serta. Namun buat kali pertama ini, kita mahu ia menjadi edisi perasmian semula Sukan Borneo, walaupun sukan ini sebenarnya pernah dianjurkan pada tahun 1958 di Seria, Brunei,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sukan Borneo 2025 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Penaung Majlis Tertinggi Sukan Borneo 2025 berkata, pasukan jemputan itu juga boleh dipanjangkan kepada penyertaan negara Australia.
“Kenapa saya sebut Australia? Ini kerana Sarawak juga menyertai Sukan Arafura yang dianjurkan di Wilayah Utara, Australia.
“Maka, tidak mustahil untuk kita membuka penyertaan pada masa hadapan secara jemputan, termasuk kepada negeri di Semenanjung Malaysia dan negara jiran lain,” katanya.
Menyentuh mengenai mesyuarat itu, Abdul Karim berkata beberapa perkara sudah dibincangkan termasuk pendaftaran atlet dan jumlah pingat yang akan dipertandingkan.
Menurutnya sebanyak 126 pingat ditawarkan dalam temasya itu menerusi lapan sukan dengan lima terasnya iaitu badminton, boling padang, olahraga, memanah dan renang.
Turut dipertandingkan dua sukan tradisional iaitu tarik tali dan menyumpit di samping sukan golf untuk kategori VIP.
Untuk rekod, Sukan Borneo 2025 dijadual berlangsung pada 24 hingga 28 September yang akan disertai Sarawak selaku tuan rumah, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur mewakili Indonesia.
© New Straits Times Press (M) Bhd