Sukan Komanwel: KBS kenalpasti acara beri keputusan mengecewakan – Peja

Sukan Komanwel: KBS kenalpasti acara beri keputusan mengecewakan – Peja

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenal pasti beberapa acara yang tidak memberi keputusan baik pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tindakan tuntas sedang dibuat demi mendapatkan hasil membanggakan pada masa depan.

“Syukur Alhamdulillah dengan izin dan rahmat-Nya, kontinjen negara telah mempamerkan aksi yang baik pada temasya Komanwel Birmingham 2022.

“Pencapaian mengutip tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa adalah menepati sasaran yang diletakkan sebelum ini. Ia adalah hasil daripada usaha para atlet dan pegawai-pegawai terlibat.

“Bagaimanapun, KBS mengenal pasti beberapa acara yang memberikan keputusan mengecewakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam temasya sukan tersebut termasuk Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia serta Institut Sukan Negara yang sentiasa memberi sokongan kepada para atlet.

“Percayalah, sokongan dan doa rakyat Malaysia menjadi azimat paling penting dalam membakar semangat para atlet untuk berjuang bermati-matian demi negara tercinta,” ujarnya. – MalaysiaGazette