sukan@hmetro.com.my
Bachok: Kejohanan sukan kuda lasak Piala Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2025 mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya tiga tahun lalu apabila menarik penyertaan seramai 112 pelumba dari seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 65 pelumba berjaya menamatkan saingan peringkat kebangsaan bagi kategori CEN 40 kilometer, sekali gus membuktikan daya ketahanan tinggi peserta dan kuda masing-masing.
Pengerusi kejohanan Prof Madya Dr Mohd Nazri Muhayiddin berkata, selain kategori utama CEN 40km, tiga kategori lain turut dipertandingkan iaitu Amatur 30km, VIP/Veteran 15km dan Terbuka 15km.
“Kebanyakan kuda yang bertanding adalah daripada baka Arab yang terkenal dengan daya tahan tinggi.
“Mereka perlu menempuh jarak sejauh 40km dan pemenang ditentukan berdasarkan kondisi terbaik kuda dari segi degupan jantung, masa pemulihan dan pernafasan,” katanya ketika ditemui pada kejohanan di Pantai Sri Nipah, Kandis, di sini.
Nazri berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan menggalakkan masyarakat menceburi sukan berkuda, yang juga antara sukan sunnah dan baik untuk kesihatan.
Beliau mengakui, sukan kuda lasak masih kurang dikenali berbanding acara berkuda lain seperti polo, lumba kuda dan kuda joget, namun semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.
Sementara itu, peserta kejohanan, Abdul Hadi Khairiliza, 21, berkata keunikan sukan kuda lasak terletak pada aspek kesihatan dan ketahanan kuda yang menjadi faktor utama menentukan kejuaraan.
“Bagi saya, sukan kuda lasak ini menarik kerana ia menguji stamina dan kecergasan kuda serta pelumba dalam jarak yang jauh. Ia juga memberi manfaat kesihatan kepada kedua-duanya,” katanya yang juga pelajar tahun tiga Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan UMK.
© New Straits Times Press (M) Bhd


