Sukan Malaysia 2022 raih lebih 38 juta tontonan di TikTok

Sukan Malaysia 2022 raih lebih 38 juta tontonan di TikTok

BANGI: Sepanjang dua minggu berlangsung, Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang menutup tirai hari ini, berjaya meraih perhatian dalam media sosial khususnya menerusi platform TikTok yang mencapai lebih 38 juta tontonan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau difahamkan penganjuran edisi kali ini telah mendapat liputan meluas di media sosial, selain, dalam media-media massa.

“Saya diberitahu di TikTok sahaja, jumlah keseluruhan video yang dimuat naik mencapai lebih 38 juta tontonan. Syabas buat anda yang telah memberi sokongan padu kepada penganjuran Sukma 2022! Anda semua hebat.

“Selain itu, liputan Sukma di media-media massa juga tidak kurang meriahnya. Setiap hari, terdapat acara-acara yang dipertandingkan disiarkan secara langsung di kaca televisyen atau paling tidak di akaun media sosial milik agensi-agensi media.

AHMAD Faizal Azumu memberi penghormatan kepada barisan sukarelawan Sukma 2022.

“Saya berharap pada masa akan datang Sukma akan terus diberikan liputan menyeluruh oleh media-media massa,” katanya sewaktu berucap pada majlis penutupan temasya dwi tahunan itu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Menurut Ahmad Faizal, atlet-atlet yang bertanding turut berasa teruja kerana wajah mereka muncul di kaca televisyen.

“Jadi, bayangkan, betapa begitu bersemangat mereka, jika media memberi liputan menyeluruh terhadap hasil usaha dan titik peluh mereka,” ujarnya.

UPACARA penutup Sukma 2022 di UKM berlangsung penuh warna warni.

Berucap lanjut mengenai Sukma, beliau berkata, penganjuran temasya itu kali ini amat istimewa setelah lebih empat tahun ia tidak dianjurkan akibat penularan Covid-19.

Jelas Ahmad Faizal, secara keseluruhan Sukma edisi ke-20 berjalan dengan lancar.

“Barangkali ia tidak sempurna seperti yang kita semua harapkan. Namun, saya berpuas hati kerana segala permasalahan atau isu berbangkit diselesaikan dengan sebaik mungkin disulami semangat kesukanan yang tinggi.

TERENGGANU merampas kembali ‘ibu segala pingat’ apabila memenangi emas bola sepak.

“Saya yakin, untuk edisi-edisi yang seterusnya tidak kira negeri mana pun menjadi tuan rumah, penganjuran Sukma akan terus berlangsung dengan meriah dan jayanya,” tambahnya.

Beliau juga berharap, acara-acara yang tidak dapat dipertandingkan pada temasya kali ini, dapat kembali dipertandingkan pada edisi akan datang.

Katanya, ia penting bukan sahaja untuk menaikkan semangat para atlet tetapi juga dapat memartabatkan lagi acara-acara sukan yang terlibat.

Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada Brunei Darussalam yang telah menghantar kontinjen bagi menyertai Sukma ke-20 yang diyakininya akan dapat merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara. – UTUSAN ONLINE