Sukan SEA 2021: Acara Tenpin Boling ditambah

Kuala Lumpur: Sebanyak 40 jenis sukan bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA 2021 yang dijadual dari 21 November hingga 2 Disember 2020 di Vietnam.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam yang diadakan secara maya semalam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata mesyuarat itu telah bersetuju menambah acara tenpin boling daripada 11 jenis sukan yang dipohon oleh MOM sebelum ini.

Pada Julai lalu, MOM menghantar rayuan kepada SEAGF untuk menyenaraikan tambahan 11 jenis sukan iaitu hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi tujuh sebelah, papan selaju, floorball dan sambo (sukan bela diri tanpa senjata dari Rusia).

Jawatankuasa Eksekutif SEAGF yang bersidang pada pertengahan Oktober lalu, dilaporkan bersetuju menambah empat lagi acara daripada senarai awal 36 jenis acara yang diputuskan pihak penganjur pada Julai lalu iaitu triatlon, tenpin boling, jiujitsu dan E-Sports.

Ditanya mengenai faktor 10 jenis sukan dipohon MOM ditolak pihak penganjur, Mohamad Norza berkata ia diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk ketiadaan fasiliti, kekangan peruntukan dan ketiadaan persatuan sukan kebangsaan di negara berkenaan.

“Antara perdebatan panas sewaktu mesyuarat itu adalah penyenaraian sukan hoki dalam dewan yang dicadangkan oleh tujuh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) ditolak pihak penganjur selain pertikaian berhubung ketiadaan sukan polo air yang juga sukan wajib dipertandingkan di peringkat Sukan SEA”, katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Mohamad Norza bagaimanapun memaklumkan sukan polo air dan hoki dalam dewan masih berpeluang untuk disenaraikan pada Sukan SEA 2021 namun bergantung kepada perbincangan lanjut di antara pihak penganjur dan kerajaan Vietnam.

Dalam Sukan SEA 2019 yang lalu, sebanyak 56 jenis sukan melibatkan 530 acara dipertandingkan dengan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara yang bertanding setelah meraih 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Akmal Hakim
Sports Desk