Sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

Sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

PEKAN – Seramai 50 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan Program Penanaman Pokok Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini hari ini.

Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Prof Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin berkata, sukarelawan itu terdiri daripada pelajar dan kakitangan Next Green Pulp and Papers (NGPP).

Program itu sebahagian daripada usaha UMP dalam menyokong Kempen penanaman pokok anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Program ini juga sebahagian usaha UMP ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan memperkenalkan Projek [email protected] di bawah Yayasan UMP dengan kolaborasi pihak industri untuk menjayakan penanaman 5000 pokok dalam tempoh lima tahun.

“Sebanyak 400 pokok yang terdiri daripada jenis Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Kasai dan Batai ditanam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Penglibatan UMP dalam program CSR amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok.

Malah ia dapat memperkasakan inisiatif dengan menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semulajadi kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Di samping itu, aktiviti yang sama turut menyumbang kepada kriteria dalam penarafan UI Green Metric.- MalaysiaGazette