Sukatan PdPR perlu lebih terangkum elak murid tercicir

Sukatan PdPR perlu lebih terangkum elak murid tercicir

KITA sudah melalui 39 minggu atau sembilan bulan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak kali pertama diperkenalkan pada 23 Mac tahun lalu.

Ia tempoh sangat panjang untuk proses penting sebegini mengambil tempat dalam persekitaran tidak kondusif, berbeza dengan suasana di sekolah.

Namun, pujian harus diberikan kepada warga pendidik sedaya upaya berusaha menyampaikan pengajaran kepada anak murid mengikut medium termampu dilaksanakan.

Lebih setahun juga kita mendengar kisah mereka tidak bernasib baik dan terpinggir daripada mengikuti PdPR atas kekurangan tertentu terutama ketiadaan peranti.

Hakikatnya, untuk PdPR berkesan, telefon pintar sahaja tidak mencukupi apatah lagi untuk tempoh panjang.

Secara idealnya, sebuah isi rumah memerlukan peranti sama ada komputer, komputer riba atau tablet yang perlu juga dipadankan dengan sambungan internet stabil.

Selain itu, kemudahan lain menyokong PdPR di rumah ialah pencetak dan kamera web khususnya bagi PdPR secara langsung. Namun, di sebalik semua peralatan ini, elemen paling penting ialah pengganti guru di rumah yang biasanya disandang golongan ibu.

Sebagai ibu, saya melihat keperluan merombak sukatan pelajaran sedia ada terlalu tinggi dan tidak dapat dicapai kebanyakan murid biasa.

Mungkin ia tiada masalah bagi murid pintar untuk mengikutinya, tetapi terlalu menekan mereka tidak berupaya. Ini amat merugikan murid itu sendiri apabila tercicir dalam pelajaran.

Contohnya, soalan bertaraf Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang begitu menguji minda dan biasanya tidak dapat dijawab kebanyakan murid biasa.

Sukatan pelajaran tertentu seperti Pendidikan Jasmani sekolah rendah juga menggunakan istilah seolah-olah untuk penuntut di pusat pengajian tinggi jurusan Sains Sukan.

Saya percaya masanya amat sesuai untuk Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah bersesuaian agar sistem pendidikan kita lebih terangkum dan menyeronokkan.

Nurhawani Zamin,
Seri Kembangan

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top