am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Suki Low, 35, terharu dan bangga kerana diberi penghormatan untuk membuat persembahan bagi meraikan Presiden China, Xi Jinping di majlis jamuan negara, di sini, baru-baru ini.
Suki yang juga juara program realiti One In A Million musim pertama itu berkata, dia juga menganggap peluang yang diberikan itu bagaikan mimpi yang menjadi nyata.
“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan diberikan penganjur.’Semuanya masih seperti mimpi kerana ia satu penghormatan besar bagi saya dapat mewakili negara melalui bidang muzik dengan membuat persembahan di hadapan Presiden China semasa lawatan beliau ke negara ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya kenangan yang sukar dilupakan pula, kata Suki, detik yang paling menyentuh hatinya ialah ketika bersalaman dengan pemimpin China itu.
“Beliau datang bersalaman dan menyampaikan pujian yang sangat bermakna buat saya.
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan detik istimewa itu dan ia akan sentiasa terpahat dalam hati saya bukan hanya sebagai penyanyi tetapi sebagai anak Malaysia,” katanya yang menyampaikan lima lagu dalam bahasa Cina pada majlis berkenaan.
Suki berkata, dia menyanyikan lagu Guang De Fang Xiang yang bermaksud Arah Cahaya, lagu rakyat di China Duo Xie Liao (Terima Kasih), Yong Ma Lai Xi Ya De Tian Qi Lai Shuo Ai Ni (Lagu ini menyampaikan rasa sayang terhadap Malaysia, Guang Liang (Cahaya) dan Pang Yao (kawan).
“Ini antara lagu yang disampaikan di majlis jamuan negara berkenaan. Lagu rakyat di China iaitu Duo Xie Liao bermaksud terima kasih.
“Tidak ramai yang tahu mengenai lagu rakyat itu tapi inilah genre lagu yang saya belajar dengan cikgu vokal ketika kecil.
“Akhirnya, hari ini saya berpeluang untuk mempersembahkan lagu ini depan Presiden China,” katanya yang ditemani suami, Jeremy Chong pada majlis berkenaan.
Terdahulu, video Suki membuat persembahan sempena jamuan negara meraikan Presiden China, Xi Jinping tular di TikTok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




