Shah Alam: Hampir RM9 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi menaik taraf kemudahan di Stadium Hoki Pandamaran dan Stadium Sultan Suleiman menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
Datuk Bandarnya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, sebanyak RM6.65 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur, lampu limpah dan papan skor digital di Stadium Hoki Pandamaran manakala RM2.27 juta naik taraf landskap, kemudahan rekreasi serta pemasangan lampu limpah dan papan skor LED di Stadium Sultan Suleiman.
Menurut beliau, Klang menjadi antara lokasi penting bagi beberapa acara utama sempena penganjuran SUKMA 2026.
“Langkah ini bukan sekadar memenuhi piawaian penganjuran peringkat kebangsaan malah memperkukuh imej Klang sebagai hab sukan serantau dan lokasi latihan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bajet berkenaan disalurkan daripada Kumpulan Wang Amanah MBDK, sejajar dengan usaha menjadikan acara sukan mega sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan dan perkhidmatan.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Bajet 2026 MBDK meluluskan perbelanjaan sebanyak RM440 juta meliputi RM330 juta Belanja Mengurus dan RM110 juta Belanja Pembangunan.
Sementara itu, temasya SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd




