am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Lama memujuk, akhirnya impian Ismail Izzani, 25, untuk berduet dengan ibunya, Suliza Salam yang juga penyanyi popular era 80-an bakal menjadi kenyataan.
Ismail sangat teruja merakamkan lagu duet bersama ibunya, apatah lagi, lagu itu dicipta sendiri.
“Saya akan lancarkan lagu yang menampilkan mama secara istimewa. Susah untuk saya pujuk mama sebab dia sudah lama tak menyanyi.
“Mama beritahu dia teruja tapi pada masa sama takut. Mama juga sudah lama tak masuk studio, jadi itu yang buat mama berfikir.
“Saya cakap tidak mengapa, cuba saja. Dalam pertengahan bulan depan kami akan mulakan projek ini,” katanya pada sidang media Ombak Festival di sin, baru-baru ini.
Ketika kemuncak kariernya, Suliza yang digelar penyanyi bermata kucing, merakamkan dua album dengan bingkisan terakhir pada 1989. Lagu Suliza yang malar segar adalah Untuk Sekali Lagi.
Ismail berkata, lagu yang diciptanya itu diberi judul Janji Mama yang berkisar pengorbanan ibu kepada anak yang mahu menceburi dunia hiburan.
Justeru, Ismail menyifatkan lagu itu sangat peribadi dan dekat dengan dirinya.
“Ini adalah lagu mengenai kami berdua. Mama adalah orang yang sokong saya dari dulu sampai sekarang. Mama juga lindungi sata sampai sekarang dan terima saya seadanya.
“Saya tulis lagu ini selepas saya ‘deep talk’ dengan mama, ketika itu, dia, jam 1 pagi.
“Selepas kami melalui panggilan telefon, saya dapat idea dan terus tulis. Saya ada simpan rakaman bahagian korus yang saya nyanyikan tanpa muzik,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail berkata, dia masih mencari dan memilih penerbit muzik yang tepat untuk lagu itu.
“Sebenarnya, ada beberapa ‘demo’ yang saya simpan. Saya juga rindu hendak menyanyi sebab peminat kenal saya sebagai penyanyi pop. Insya-Allah saya akan hasilkan single pop balada selepas lagu Tenggelam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd