Sultan Brunei lakukan lawatan negara ke Malaysia mulai Isnin

Sultan Brunei lakukan lawatan negara ke Malaysia mulai Isnin

Putrajaya: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara mulai Isnin hingga Khamis, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan itu akan disusuli Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC), menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad.

Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei semasa lawatan negara itu.

Menurut kementerian itu, Sultan Hassanal Bolkiah akan diberi sambutan negara di Istana Negara pada Selasa (26 Ogos), diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Satu majlis santapan negara bagi meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi Brunei akan dihoskan oleh Sultan Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ALC ke-26 pada Rabu (27 Ogos).

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menjadi wadah untuk kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menangani isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kementerian itu, lawatan serta mesyuarat tahunan berkenaan mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (AS$1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah AS$690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah AS$500 juta (RM2.18 bilion) dan import AS$190 juta (RM840 juta).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top