Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Sabtu berkenan rasmi Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 7.45 pagi disambut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Usai majlis perasmian, Sultan Ibrahim memandu sendiri ETS3 yang mampu bergerak sehingga 140 km/j menuju Stesen Kluang, Johor.
Artikel lain: PM Anwar sifatkan pemerintahan Sultan Ibrahim bijaksana, jadi lambang penyatuan negara
Turut mengiringi Baginda ialah Anthony Loke, Shamsul Azri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
Perjalanan kira-kira 3 jam 30 minit itu menandakan sejarah baharu dalam pengangkutan rel negara.
Sultan Ibrahim berkenan rasmi ETS3
Di Kluang, Sultan Ibrahim menyempurnakan perasmian Laman Rel Mahkota, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.
Selepas itu, Baginda kembali ke Kuala Lumpur menggunakan ETS3.
Sultan Ibrahim sebelum ini diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010.
Baginda pernah memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari dalam program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010), termasuk memusingkan lokomotif 86 tan dalam 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.
“Kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini,”ujar Anthony Loke mengenai ETS3.
Sumber: BERNAMA