Sultan Kelantan, Sultanah sertai lebih 10,000 Walkathon D'Raja 2026

Sultan Kelantan, Sultanah sertai lebih 10,000 Walkathon D'Raja 2026

Kota Bharu: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana berkenan mencemar duli bersama lebih 10,000 peserta yang menyertai program Walkathon D’Raja-Walk With Me 2026′ di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.

Baginda berdua tiba 11.18 malam bagi majlis perasmian yang yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Selepas gimik perasmian, Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana berjalan sejauh 3.2 kilometer bersama peserta menuju Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, seterusnya ke Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, sebelum menamatkan acara dengan kembali ke stadium.

Terdahulu, peserta berpeluang menyaksikan 350 dron dalam 10 formasi yang memaparkan tradisi dan budaya Kelantan seperti gasing, rebana ubi dan wayang kulit, sebagai usaha mempromosi negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Seorang peserta Rudeyhazle Che Ramli, 50, berkata beliau berasa teruja kerana dapat menyertai program itu serta berjalan bersama Sultan Kelantan yang berjiwa rakyat.

“Acara sebegini juga dapat mengeratkan silaturahim, berjumpa kenalan lama dan memupuk gaya hidup sihat,” katanya.

Bagi, Siti Annassalwani Kamaruzaman, 32, beliau berharap program itu dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja menarik pelancong, malah memperkenalkan budaya dan adat tradisi di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top