Sultan Mizan seru golongan belia jadikan semangat hijrah sebagai inspirasi

Sultan Mizan seru golongan belia jadikan semangat hijrah sebagai inspirasi

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru golongan belia Muslim menjadikan semangat hijrah sebagai inspirasi untuk melakukan anjakan diri secara menyeluruh.

Titahnya, golongan belia Muslim perlu melakukan anjakan dan berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, kejahilan kepada keilmuan serta kelesuan kepada kesungguhan dalam membina ummah yang cemerlang.

“Beta menyeru muslimin dan muslimat agar mengambil semangat hijrah untuk memperbaiki diri, rohani, jasmani dan memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat serta memperelokkan hubungan dengan Allah SWT.

“Golongan belia adalah harapan negara serta pewaris masa depan ummah dan ia menjadi detik muhasabah yang mengajak belia untuk melakukan penghijrahan diri ke arah yang lebih positif, berdaya saing dalam membina masyarakat yang cemerlang berlandaskan nilai-nilai Islam,” titahnya.

Titah ucapan Sultan Mizan itu disampaikan Yang Dipertua Muda Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin sempena majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1447 Hijrah di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin.

Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN) yang juga Pakar Perunding Nefrologi, Datuk Dr Ghazali Ahmad menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H.

Sultan Mizan menyeru seluruh umat Islam turut bersama berusaha membina sebuah masyarakat berteraskan nilai keimanan yang kukuh, pencarian ilmu secara berterusan, penghayatan akhlak yang mulia dan kehidupan sejahtera.

“Beta berdoa semoga Allah SWT merahmati usaha kita semua dalam membangunkan ummah yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan serta teguh dalam keimanan, agar menjadi ummah yang disanjung dan menjadi rahmat kepada seluruh alam,” titahnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, hijrah adalah perubahan bagi menjadi lebih baik dan bukannya sekadar untuk diri sendiri tetapi untuk negeri serta negara tercinta.

Menurutnya, rakyat tidak perlu lagi untuk berhijrah merentasi padang pasir, sebaliknya berhadapan dengan hijrah jiwa.

“Aspek kehidupan sama ada sebagai pemimpin, penjawat awam, pelajar, ibu bapa atau anak muda perlu berhijrah sikap dan pemikiran.

“Hijrah jiwa, sikap dan pemikiran adalah tuntutan zaman yang perlu disahut bersama iaitu berhijrah daripada perpecahan kepada perpaduan, kelalaian kepada kesedaran dan kepentingan diri kepada kepentingan ummah,” katanya.

Dr Ahmad Samsuri mengajak seluruh rakyat menjadikan Terengganu sebagai contoh sebuah negeri yang makmur, berkat dan dirahmati kerana dibina atas asas nilai Islam, kasih sayang, amanah serta keadilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top