Sultan Nazrin santuni bekas anggota keselamatan

Sultan Nazrin santuni bekas anggota keselamatan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyantuni 10 wira negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2024, di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada empat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lima pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penghargaan itu diberikan bagi mengenang jasa dan sumbangan yang dicurahkan mereka kepada negara sepanjang tempoh berkhidmat sebagai anggota keselamatan.

Ia disampaikan pada majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah selepas selesai majlis sambutan Hari Kebangsaan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, pagi tadi.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin berkenaan menyampaikan hadiah johan kawad kaki kategori jabatan kerajaan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) sempena perbarisan Hari Kebangsaan 2024.

Tempat kedua disandang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak manakala tempat ketiga dimenangi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) muncul johan kawad kaki kategori pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) diikuti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di tempat kedua, dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di tempat ketiga.

Bagi kategori pejabat daerah dan tanah (PDT) pula, tempat pertama dimenangi Kinta, kedua Batang Padang dan ketiga Bagan Datuk.

Sementara itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet Ipoh berjaya merangkul gelaran johan bagi kategori pancaragam, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) naib juara dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak tempat ketiga.

Bagi kategori pakaian terbaik, kontinjen MBI juga muncul sebagai johan, sementara PDT Kinta dan JPS Perak masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Johan setiap kategori menerima wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top