am@hmetro.com.my
Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, di sini, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka anakanda.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.25 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pemimpin dan pegawai kanan Kerajaan Pahang.
Solat sunat Aidiladha dipimpin Imam 1, Masjid Tengku Ampuan Afzan, Mohd Hafidz Muhamad Suhaile dan khutbah bertajuk ‘Kehidupan Adalah Pengorbanan’ disampaikan Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.
Selesai solat baginda berkenaan menyantuni jemaah serta melaksanakan ibadah korban berlangsung di pekarangan masjid.
Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Al-Sultan Abdullah berkenaan mengurniakan 34 lembu untuk dikorbankan di masjid dan surau di seluruh Pahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




