Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR, utamakan kedaulatan negara

Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR, utamakan kedaulatan negara

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memperkukuh kawalan sempadan dan memperkemas pengurusan pelarian bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Menerusi Titah Diraja sempena Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121, baginda berpandangan isu lambakan warga asing termasuk keberadaan pelarian yang tidak diurus secara teratur perlu diberikan perhatian serius kerana boleh menimbulkan cabaran terhadap keselamatan, kesejahteraan sosial, kebersihan persekitaran dan ketenteraman awam.

Sultan Pahang mahu operasi UNHCR dinilai semula

Dalam titah tersebut, baginda turut berpandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan membuat penilaian menyeluruh terhadap kewajaran meneruskan operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Malah, kerajaan diminta mempertimbangkan kemungkinan menamatkan operasi berkenaan sekiranya fungsi dan keberkesanannya tidak lagi memenuhi keperluan serta kepentingan negara.

“Kehadiran sesebuah organisasi antarabangsa seharusnya membantu meringankan beban negara, bukannya mewujudkankeadaan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat tempatan.
“Jangan sampai atas nama kemanusiaan, kedaulatan negara dipandang ringan; dan jangan pula atas nama perlindungan, undang-undang negara seolah-olah kehilangan keutamaannya.
“Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, tetapi tidak sesekali boleh menggadaikan kedaulatan dan keselamatannya atas nama kemanusiaan,” titah baginda.

Foto: Kesultanan Pahang

Tegas semua pihak wajib hormati undang-undang negara

Baginda juga menegaskan bahawa setiap individu yang berada di Malaysia wajib menghormati undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa tanpa mengira asal usul mahupun latar belakang.

Sehubungan itu, baginda mahu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang.

Baginda turut menegaskan tanggungjawab utama kerajaan adalah mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung keluhuran undang-undang serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Titah Diraja tersebut disampaikan ketika Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 3 November lalu.

Sumber: Facebook Kesultanan Pahang

Scroll to Top