Sultan Pahang Kurniakan Suami Pingat DIMP, Nelydia Senrose Kini Bergelar Datin

Sultan Pahang Kurniakan Suami Pingat DIMP, Nelydia Senrose Kini Bergelar Datin

Aktres jelita, Nelydia Senrose meluahkan rasa syukur apabila suaminya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, tersenarai antara penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Nelydia atau nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen menzahirkan penghargaan atas limpah perkenan Sultan Pahang yang mengurniakan anugerah tersebut kepada suami tercinta.

“Merafak sembah serta menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan Pahang atas limpah perkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-66 kepada suami tercinta @mhafezhalimi,” tulis Nelydia.

Menurut hantaran rasmi di Facebook Kesultanan Pahang semalam, seramai 58 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena istiadat penganugerahan yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Antara penerima ialah suami Nelydia yang merupakan Pengerusi Fezka Holdings Sdn Bhd yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Nelydia, Seindah Hujan Cinta kini sedang bersiaran di Tonton.

Drama ini menyatukan barisan pelakon berbakat besar iaitu Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny, Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri dalam satu penceritaan yang penuh warna dan nuansa emosi.

Di bawah arahan pengarah prolifik, Nizam Zakaria, Seindah Hujan Cinta mengangkat kisah cinta penuh pengorbanan antara Zarita (Nelydia Senrose), seorang pempengaruh yang sedang meniti puncak kerjaya dan suaminya Wassim (Yusuf Bahrin), seorang lelaki yang mendambakan kehadiran zuriat selepas lima tahun perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak.

Dalam usaha menyeimbangkan kerjaya dan rumah tangga, Zarita membuat keputusan mengejut apabila merelakan suaminya berkahwin lain. Lebih luar biasa, dia sendiri mencadangkan adik angkatnya, Aneesa yang dilakonkan penuh kelembutan dan kedalaman emosi oleh Ezzanie Jasny untuk menjadi madu.

Namun, kemelut sebenar bermula apabila perasaan cemburu dan penyesalan mula membelenggu hati Zarita selepas melihat kebahagiaan yang mula tumbuh antara Wassim dan Aneesa.

Hariz Hamdan pula hadir sebagai watak penting yang mencorak perjalanan emosi ketiga-tiga watak utama, menambah lagi dimensi kepada konflik cinta dan tanggungjawab.

Turut menyokong kekuatan naratif adalah lakonan menyentuh hati daripada Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri, yang masing-masing membawa watak keluarga yang sarat kasih sayang, nasihat, serta nilai tradisi yang mengikat hubungan sesama insan.

Seindah Hujan Cinta bukan sekadar drama tentang cinta tiga segi atau poligami. Ia menyelami pergolakan batin wanita yang tersepit antara impian kerjaya dan naluri keibuan, perjuangan seorang suami untuk berlaku adil, serta pengorbanan seorang adik angkat demi kesetiaan dan budi.

Dengan kekuatan lakonan, dialog yang menyentuh perasaan dan konflik yang dekat dengan realiti masyarakat, drama 28 episod ini menjanjikan pengalaman menonton yang penuh intensiti dan nilai kemanusiaan.

Jangan lepaskan tayangan perdana Seindah Hujan Cinta bermula 21 Julai, eksklusif di Tonton.

Scroll to Top