KUANTAN: Rakyat khususnya yang memandu pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan agar sentiasa bersabar dan berhemah ketika di jalan raya atau lebuh raya kerana aliran trafik di beberapa laluan utama pada ketika ini dilaporkan sesak.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan meninjau dari udara aliran trafik keluar dari Lembah Klang menuju ke Pantai Timur yang mengalami kesesakan berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Baginda bertitah agar para pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu, selain merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan tekanan dan keletihan sepanjang perjalanan jauh.
“Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Keselamatan hendaklah diutamakan agar semua dapat tiba ke destinasi dengan selamat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan agar pemandu tidak terburu-buru, sentiasa berhemah di jalan raya serta berhenti rehat sekiranya berasa letih atau mengantuk.
Dalam masa yang sama, baginda mendoakan agar semua rakyat yang pulang ke kampung halaman dipermudahkan urusan dan selamat tiba untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan keberkatan. – UTUSAN




