am@hmetro.com.my
Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru umat Islam terus menjadikan al-Quran sebagai pedoman utama.
Baginda berdua bertitah bahawa al-Quran dapat membentuk peribadi yang berakhlak mulia, berilmu serta berintegriti dalam setiap aspek kehidupan.
“Baginda turut menzahirkan harapan agar nilai-nilai murni yang terkandung dalam al-Quran seperti keadilan, kasih sayang, kejujuran dan kesederhanaan dapat terus diamalkan dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan negeri dan negara,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Sempena Hari Nuzul al-Quran, baginda berdua menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Nuzul Al-Quran kepada seluruh umat Islam di Pahang, khususnya dan di Malaysia amnya.
Baginda berdua turut menzahirkan doa dan harapan sambutan Hari Nuzul al-Quran pada tahun ini menjadi ruang untuk umat Islam memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amalan membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Peristiwa Nuzul al-Quran adalah detik penting dalam sejarah umat Islam kerana ia menandakan turunnya wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh umat manusia, titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



