Oh! Negara
Sultan Pahang titah kuasa pengampunan bukan hadiah politik, tapi imbangan dalam sistem keadilan.
Satu penegasan tegas oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan isu kuasa pengampunan yang kini hangat diperkatakan. Baginda menitahkan bahawa pengampunan bukan hadiah politik atau simpati peribadi, sebaliknya satu mekanisme penting dalam sistem keadilan negara.
Titah baginda ini jelas menunjukkan betapa seriusnya isu ini perlu difahami rakyat tanpa dipengaruhi emosi atau sentimen politik yang melampau.
Kuasa pengampunan Agong bukan untuk satu pihak sahaja

Menurut baginda, kuasa pengampunan perlu dilihat secara tenang, bukan dengan kepala yang panas atau terlalu emosi. Baginda turut menegaskan bahawa pengampunan bukan eksklusif untuk individu tertentu sahaja.
Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.- Titah baginda.

Satu perkara penting yang ditekankan ialah pengampunan tidak bermakna kesalahan telah dihapuskan. Malah, ia tidak membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pemerintahan negara.
Sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.- Katanya.
Keputusan dibuat melalui musyawarah

Titah baginda lagi, keputusan berkaitan pengampunan tidak dibuat secara unilateral atau sesuka hati. Sebaliknya, ia melalui perbincangan Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada wakil institusi negara.
Ini menunjukkan wujudnya proses semak dan imbang yang berlapis, serta tidak berpihak kepada mana-mana agenda politik atau tekanan luar.

Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam.- Titah baginda.
Baginda juga berdoa agar Malaysia terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan berada dalam rahmat Allah SWT.
Pssttt! Ohmedia harap korang dapat ambil pengajaran daripada titah Tuanku ni. Jangan cepat melatah atau tafsir ikut emosi, sebab undang-undang negara ni tak boleh diubah sesuka hati.
Kredit: Facebook Kesultanan Pahang
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




