Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang zahir takziah pemergian Syed Muhammad Naquib

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang zahir takziah pemergian Syed Muhammad Naquib

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh pemikir peradaban Islam, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang meninggal dunia petang semalam.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menyifatkan Allahyarham banyak berjasa dan dikenali sebagai tokoh ilmuwan yang memperkenalkan konsep Islamisasi ilmu pengetahuan.

“Profesor Diraja ini memberi pengaruh besar dalam perkembangan pemikiran pendidikan Islam moden di peringkat antarabangsa.

“Sepanjang kerjayanya dalam dunia akademik, Allahyarham menghasilkan puluhan karya ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan tamadun Islam.

“Antara karya beliau yang berpengaruh ialah Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam yang menjadi rujukan penting dalam kalangan sarjana di seluruh dunia.

“Sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh wacana intelektual Melayu-Islam menjadikan beliau antara tokoh pemikir paling berpengaruh di rantau ini,” menurut hantaran dimuat naik di laman Facebook (FB) Kesultanan Pahang, hari ini.

Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan tersayang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top