am@hmetro.com.my
Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan negeri supaya meneliti semua bangunan yang sudah berusia dan usang demi keselamatan nyawa dan harta benda.
Baginda bertitah, langkah itu perlu untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran yang membabitkan premis kedai di Jalan Besar, di sini Sabtu lalu.
Titahnya, pihak pentadbiran perlu membuat satu dasar baharu berkaitan bangunan lama kerana kejadian itu kemungkinan akan berlaku di tempat lain.
“Saya tahu kalau kita nak bina bangunan baharu, pejabat baharu, hotel baharu dan premis baharu begitu ketak sekali peraturan yang disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Pejabat Daerah.
“Kita setuju dengan cara (peraturan) itu tetapi bangunan lama awak tutup mata sahaja. Ini saya rasa satu masa untuk pergi tengok bangunan-bangunan lama.
“Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) pun sama, jika bangunan rasa tidak selamat, beritahu tidak selamat, jangan main diam sahaja kerana kita tidak mahu ada kehilangan nyawa dan harta yang besar,” titah baginda selepas berkenan melawat lokasi kebakaran kedai di Jalan Besar, hari ini.
Baginda turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, khususnya anggota bomba yang bertindak pantas sebaik menerima panggilan kecemasan dalam operasi pemadaman.
“Tetapi saya tengok dalam TikTok, kebakaran itu agak menakutkan dan begitu besar sekali,” katanya.
Sabtu lalu, tiga premis perniagaan yang berusia lebih 100 tahun terletak di pusat bandar raya itu musnah dalam kebakaran.
Dalam kejadian jam 4.30 itu, premis itu membabitkan kedai karpet, penggurup wang dan kedai runcit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




