Sultan Pahang titah kerajaan Persekutuan ambil tindakan segera tingkat tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat

Sultan Pahang titah kerajaan Persekutuan ambil tindakan segera tingkat tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Persekutuan disaran membantu Kerajaan Pahang dengan segera untuk meninjau serta mengambil tindakan bagi menentukan tahap keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, hari ini.

Titah baginda, kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama sekali apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti umum.

“Justeru, satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan ia berulang kembali. Pada masa sama, pengguna juga perlu lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati.

“Perlu diingatkan juga, pemandu mesti berada dalam keadaan yang sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau ‘microsleep’.

“Ini kerana statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun lalu iaitu 2020 hingga kini di jalan berkenaan merekodkan sebanyak 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut.

“Antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah letih, mengantuk dan kecuaian,” titah baginda.

Baginda bertitah, jika semua perkara itu ditangani bersama antara pihak berkuasa dan pengguna jalan raya ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan.

Malah, baginda bertitah, keselamatan penumpang dan pemandu akan lebih terjamin dan dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di jalan itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin, semalam.

Baginda berdua menzahirkan rasa sedih, dukacita dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

Sehubungan itu, baginda berdua mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top