Sultan Pahang ziarah juruterbang, juru sensor senjata pesawat pejuang F/A-18D Hornet

Sultan Pahang ziarah juruterbang, juru sensor senjata pesawat pejuang F/A-18D Hornet

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi juruterbang dan juru sensor senjata pesawat pejuang F/A-18D Hornet terbabit dengan kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Majlis Kesultanan Pahang, keberangkatan tiba baginda di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Kuantan, jam 5.30 petang.

Sultan Pahang meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Dua juruterbang terbabit cedera ringan kini ditempatkan di RAST berkenaan selepas menjalankan rawatan awal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

“Baginda bertanya khabar dan mendengar pengalaman cemas dilalui dua pegawai TUDM terbabit ketika kemalangan pesawat berlaku jam 9.05 malam, semalam.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada kedua-dua mangsa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu Sultan Pahang berangkat melawat lokasi pesawat pejuang F/A-18D Hornet terhempas di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.

Dalam kejadian semalam, pesawat terbabit meletup dan terhempas sejurus memulakan penerbangan.

Juruterbang dan pembantunya terselamat selepas melompat keluar dari pesawat mengguna kerusi lenting.

Kejadian berlaku ketika pesawat terbabit melakukan sesi latihan penerbangan malam.

TUDM sedang menyiasat punca kemalangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top