Sultan Selangor dukacita, gesa SIS Forum tidak guna perkataan Islam

Sultan Selangor dukacita, gesa SIS Forum tidak guna perkataan Islam

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, baginda Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

“Ia supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya

menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan bagaimanapun, tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan berkenaan.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, MAIS berduka cita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.

“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Salehuddin berkata, MAIS bagaimanapun bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa ini adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara (subject matter approach).

“Beliau juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan ‘orang sebenar’ yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.

“Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu ‘Sisters in Islam’ yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam.

“Ini ditambah pula dengan fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top